Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmatnya saya berjaya melengkapkan blog pengajaran iaitu e-portfolio dalam kursus ini. Jutaan terima kasih juga buat Dr. Sadiah dan kawan-kawan yang banyak memberi tunjuk ajar serta pertolongan sepanjang proses membuat blog ini. Walaupon sedih kerana kursus ini akan berakhir, namun saya berjanji pada diri sendiri bahawa ilmu yang diperolehi ini akan saya aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran nanti.
Setelah menghadiri sebanyak 14 kali kelas, akhirnya saya berjaya menghasilkan blog pengajaran sendiri. Kejayaan ini amat membanggakan kerana saya bukanlah seorang yang cekap menggunakan komputer serta perisian-perisian seperti Smart Board dan Camtasia Studio. Secara tidak langsung, penghasilan blog ini menunjukkan berlakunya anjakan paradigma di dalam diri seseorang yang tidak celik ICT kepada yang berpengetahuan tentang ICT. Besar impaknya kepada diri saya walaupon pelbagai halangan serta masalah yang berlaku sepanjang penghasilan blog ini.
Blog pengajaran saya diberi nama ieda e-portfolio. Dalam blog ini, saya telah memasukkan kesemua elemen penting seperti yang dikehendaki oleh Dr. Sadiah. Bagi memastikan blog ini nampak teratur dan kemas, saya telah melinkkan kesemua maklumat ke dalam menu. Oleh itu, pelawat blog boleh memilih laman yang mereka ingin lawati. Pada mulanya, agak sukar untuk saya melinkkan kesemua maklumat ini kerana tidak mengetahui cara yang betul untuk melakukannya. Setelah berulangkali mencuba dan bertanya kepada kawan-kawan yang sememangnya pakar dalam bidang ini, akhirnya saya berjaya juga melakukannya.
Kemudian, saya memasukkan slideshow tentang aktiviti P&P dan rekacipta pelajar di ruangan blog untuk tontonan umum. Saya amat lemah menggunakan picasa dan memuat turun gambar ke dalam blog. Mungkin kerana sikap saya yang kurang kreatif dan tidak biasa menggunakan perisian tersebut menyebabkan saya sedikit lambat menerima input yang diajar. Kelemahan ini dapat diatasi setelah Dr memberi tugasan supaya menghasilkan collage dan slideshow menggunakan picasa. Kini saya mendapat kekuatan baru iaitu menjadi seorang yang lebih kreatif dan gemarkan kelainan dalam hasil kerja saya.
Blog saya juga dimuatkan dengan gadget yang lain seperti jam. Jam adalah penting kerana ia menunjukkan ketepatan masa dan disiplin seseorang individu. Saya juga ingin memasukkan ruangan laman sembang untuk pelawat blog. Tetapi blog akan menjadi padat dan keutamaan saya adalah untuk menghasilkan blog mengikut kehendak Dr. Blog yang baik merupakan blog yang dapat menyampaikan maklumat dan berkongsi pengetahuan yang baru atau lama dengan pelawatnya. Oleh itu, maklumat didalam blog tersebut mestilah disusun dengan sistematik supaya dapat merefleksikan maklumat yang ada.
Harapan saya supaya saya dapat terus menambah serta berkongsi sesuatu dalam blog ini. Semoga blog ini menjadi medium perantaraan antara pendidik dan juga pelajar dalam membincangkan pengajaran serta pembelajaran. Penggunaan ICT bukanlah melalaikan tetapi juga banyak memberi sumbangan dalam pembangunan individu, pendidik dan pelajar. Secara keseluruhannya saya mendapati dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan dan ilmu mengenai ICT, seseorang itu dapat bergerak seiring dengan kemajuan teknologi pada era sekarang. Kelebihan ini digunakan untuk menghasilkan teknik serta strategi yang berkesan dalam meningkatkan kualiti pengajaran dalam apa jua mata pelajaran.
0 comments:
Post a Comment